Saturday, December 13, 2008

Hikayat si Ratna yang Tidak Seberapa


Kurang sedikit tiga dekad panjang umurnya, dia memilih untuk lena. Tidur kerana tidak mahu lupa, juga malas hidup dalam jaga.

Fikirnya kalau hidup ini umpama mimpi, teruslah dia dibuai syahdu. Tidak kusut kilau dunia, tidak sesak nyawa dengan adab manusia. Mimpi elok; Suralayanya. Mimpi buruk; masygul sendiri.

Di atas katilnya dia menelangkung, menelangkup, mengereng, mengerang. Di situ lah dia menyorok bawah cengkerang. Biar jiwanya meratap, mengilai dalam sedu, sebak tawanya, tiada siapa perlu tahu.

Dia beradu tidak perlu dengar bingit celoteh orang-orang yang mahu peduli. Bebas gerak geri, bebas akal dan hati.

Dan kalau Suri itu maksudnya Puteri, di katil itu dialah Permai-Suri.

Puteri kepada wilayah Permai, lena dalam damai.


“Tidurlah wahai Permaisuri, pejam mata…”


Permaisuri tidur sepanjang riwayatnya.

Zzz..


*Tuanku tidur dengan gundik-gundiknya.

0 comments: